Rancang hamil
idayu@hmetro.com.my
2010/07/29
KUALA LUMPUR: Bagi menangani isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa dan kehamilan tidak dirancang oleh golongan muda yang tidak berkahwin, Majlis Pencegahan Hamil Asia Pasifik melancarkan kempen ‘Ya, Saya Boleh’ dalam menggalakkan wanita muda mengambil pil perancang keluarga.
Ahli Majlis Pencegahan Hamil Asia Pasifik, Prof Jamiyah Hassan berkata, kempen itu bertujuan memperkasakan wanita untuk membuat pilihan mengenai kesihatan seksual dan mencegah hamil berasaskan pengetahuan serta pendidikan.
Katanya, kempen itu juga mengelak kehamilan  tidak dirancang oleh golongan muda, sekali gus dapat menangani kes  pembuangan bayi dengan menggalak mereka mengambil pil pencegahan  kehamilan.
“Pil perancang keluarga penting bagi memberi  peluang kepada wanita merancang kehamilan sekiranya tidak bersedia  menerima bayi dalam hidup mereka.
“Kita tidak mahu kehamilan  yang tidak dirancang ini memberi kesan emosi kepada wanita seterusnya  membuat keputusan drastik membuang bayi yang tidak berdosa,”  katanya  ketika ditemui pada Majlis Perasmian kempen ‘Ya, Saya Boleh ’ yang  dirasmikan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga  Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, di Sunway Pyramid, di sini,  semalam.
Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Pusat  Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar serta Presiden  Persatuan  Obstetrik dan Sakit Puan Malaysia (OGSM), Dr Mohamad Farouk  Abdullah.
Kempen itu mendapat kerjasama OGSM dan Persekutuan  Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dengan gabungan Bayer  Schering Pharma Malaysia.
Jamiyah berkata, pil itu baik  untuk kesihatan wanita kerana menawarkan pelbagai manfaat kesihatan  tambahan kepada mereka termasuk mengawal jerawat dan senggugut atau  gejala sebelum haid.
“Kempen ini dapat mendidik wanita muda  menangani kehamilan tidak dirancang dengan menggalak perbincangan secara  terbuka antara mereka dengan pakar penjagaan kesihatan profesional.
 “Dengan kesedaran dan pendidikan kesihatan seksual serta pencegahan  hamil membantu mengurangkan wanita hamil tidak dirancang serta kes buang  bayi di negara ini,” katanya.
Menurut Jamiyah, kempen  berkenaan akan berakhir November ini dengan mengadakan peraduan cabaran,  ‘Ya, Saya Boleh’ dalam menggalakkan sokongan golongan muda untuk  menyertainya dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
--dipetik dari harian metro 29 julai 2010 page 32.
 
No comments:
Post a Comment